News

PELANTIKAN DUTA MUDA LEMBAGA TEKNOLOGIS MALAYSIA (MBOT)

Apr 15, 2019

UNIKL ROYAL COLLEGE OF MEDICINE PERAK, IPOH 14 April - Sukacita dimaklumkan bahawa Lembaga Teknologis Malaysia telah melantik Ku Siti Khadijah Ku Pera sebagai Duta Muda Lembaga Teknologis Malaysia. Pelantikan ini disampaikan oleh YBhg. Tan Sri Dato’ Academician (Dr.) Ts. Ahmad Zaidee bin Laidin, FASc., Presiden MBOT pada hari terakhir Ekspo TVET@KPLB, ahad lepas.

Anak muda berusia 24 tahun ini adalah pemenang pingat emas Pertandingan Asean Skills Competition (ASC) dan satu-satunya peserta wanita dalam bidang pemasangan elektrik yang menyertai World Skills Competition di Abu Dhabi 2017. Penglibatan beliau di peringkat antarabangsa ini dilihat begitu signifikan dalam memartabatkan profesion Juruteknik dan kemahiran teknikal di Malaysia.

Ku Siti Khadijah, anak kelahiran Kodiang, Kedah mula melibatkan diri dalam bidang pemasangan elektrik sejak tahun 2013 sejurus menamatkan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Beliau telah menjalani kursus Pemasangan Elektrik di dua pusat Giatmara iaitu Giatmara Kota Bharu dan Giatmara Arau. Beliau berjaya memperoleh 6 Sijil Kemahiran dan Sijil Kemahiran Diploma dalam Pemasangan dan Penyelenggaraan Elektrik Voltan Rendah.

Pelantikan Ku Siti Khadijah ini dilihat sebagai satu suntikan motivasi kepada individu yang terlibat dalam bidang kemahiran dan berhasrat untuk mengembangkan karier mereka ke peringkat yang lebih tinggi.

Tahniah kami ucapkan kepada Ku Siti Khadijah Ku Pera di atas pelantikan sebagai Duta Muda MBOT.

Pihak MBOT juga ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada YB Rina binti Harun, Menteri Pembangunan Luar Bandar di atas kesudian beliau menjadi saksi pelantikan duta pertama MBOT.