News

PERMETERAIAN KERJASAMA MBOT DAN YAYASAN PENERAJU

Mar 30, 2021
30 MAC 2021 - Lembaga Teknologis Malaysia (MBOT) hari ini menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Yayasan Peneraju Pendidikan Bumiputera (Yayasan Peneraju) bagi menjalinkan kerjasama mengenai pembangunan bakat profesional dengan mengiktiraf Teknologis dan Juruteknik dalam pelbagai bidang Teknologi dan Teknikal yang berkaitan bagi memantapkan kompetensi tenaga kerja dalam bidang tersebut.

Berpandukan teras ke-4 Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia iaitu membangunkan bakat digital yang tangkas dan kompeten, MBOT memainkan peranan sebagai rakan kongsi strategik bagi memperkasa kualiti dan kemampuan tenaga kerja masa hadapan bermula dengan usahasama antara pemain industri, Institut Pengajian Tinggi (IPT) dan pelajar.
Mengulas mengenai memorandum persefahaman ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof berkata, kerjasama ini begitu signifikan kepada Yayasan Peneraju dan MBOT dalam menzahirkan komitmen untuk membantu meningkatkan tahap pencapaian, khususnya bakat-bakat Bumiputera sebagai Teknologis Profesional (Ts.) dan Juruteknik Bertauliah (Tc.).

Memorandum persefahaman tersebut telah ditandatangani oleh Ts. Mohd Muzzammil Ismail, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Peneraju dan YBhg Datuk Ir. Ts. Dr. Siti Hamisah binti Tapsir, Presiden MBOT dan majlis ini turut disaksikan oleh YB Datuk Seri Mohd Redzuan Md. Yusof, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas) dan YB Datuk Haji Ahmad Amzad Hashim, Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi.