News

PEMETERAIAN MEMORANDUM PERSEFAHAMAN DI ANTARA LEMBAGA TEKNOLOGIS MALAYSIA (MBOT) DENGAN EDUCITY ISKANDAR MALAYSIA SDN BHD (EduCity)

Dec 06, 2021
6 DISEMBER 2021 - Lembaga Teknologis Malaysia (MBOT) dan EduCity Iskandar Malaysia Sdn Bhd (EduCity) telah memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bersempena Majlis Pelancaran Program PERANTIS Iskandar hari ini.

Majlis Pelancaran PERANTIS Iskandar ini yang telah disempurnakan oleh YAB Datuk Haji Hasni bin Mohammad, Menteri Besar Johor yang turut menyaksikan pemeteraian beberapa MoU di antara EduCity dengan rakan-rakan strategik program PERANTIS Iskandar termasuk MBOT.

Pemeteraian dan pertukaran MoU ini telah disempurnakan oleh Presiden MBOT, YBhg. Datuk Ir. Ts. Dr. Siti Hamisah binti Tapsir dengan Pengarah Urusan EduCity, Encik Wan Ahmad Saifuddin Wan Ahmad Radzi. Melalui MoU tersebut, MBOT akan memainkan peranan bagi membantu EduCity membentuk profesionalisme dari kalangan peserta PERANTIS Iskandar di dalam bidang teknologi dan teknikal.

Program PERANTIS Iskandar merupakan sebuah program upskilling dan reskilling bagi memenuhi keperluan industri terkini yang selari dengan Dasar Revolusi Perindustrian Keempat (4IR) Negara. Program ini juga akan membuka peluang pekerjaan di dalam industri ekonomi baharu seperti pengaturcaraan kecerdasan buatan (AI), teknologi automotif, juruteknik robotik, pereka bentuk kesan visual dan penganalisis data.

Gambar : EduCity