News

MOSTI pergiat promosi inovasi

Oct 27, 2014

Pada pembentangan Bajet 2015 baru-baru ini Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) antara yang diberi dana besar bagi merancakkan lagi inisiatif penyelidikan dan inovasi berimpak tinggi yang akan menjamin kesejahteraan dan perkembangan ekonomi negara.

Tanggungjawab tersebut bukan kecil, kerana ia melibatkan dana yang besar iaitu sebanyak RM1.3 bilion bagi melaksanakan beberapa program.

Program tersebut termasuk memasarkan 360 produk inovasi berimpak tinggi yang boleh dikomersialkan dalam tempoh enam tahun akan datang.

Program seterusnya ialah menyediakan dana penyelidikan sebanyak 290 juta ringgit bagai menjalankan pelbagai aktiviti R&D&C yang berimpak tinggi, menjenamakan semula SIRIM – SME Technology Penetration, peningkatan program dan technology Auditing akan dilaksanakan.

Mengulas mengenainya Menteri Sains, Teknolgi dan Inovasi (MOSTI) Datuk Dr. Ewon Ebin berkata, pihaknya juuga akan memperkenal inisiatif baru iaitu public private research network yang diterajui Kementerian Pendidikan dengan kerjasama Malaysian Technology Development Corporation (MTDC) dengan peruntukan 50 juta ringgit.

Katanya, MOSTI juga akan memperkukuh pengkomersialan teknologi platform oleh Agensi Inovasi Malaysia (AIM) dengan tambahan 50 juta ringgit.

Oleh itu warga penyelidik mempunyai sebab untuk berbangga dengan komitmen kerajaan membangunkan bidang penyelidikan yang sekali gus mengiktiraf peranan MOSTI.

Beliau seterusnya berkata, MOSTI yang mempunyai 27 buah agensi termasuk jabatan, badan berkanun, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) serta yayasan merupakan satu kementerian yang penting dan membawa visi untuk meneroka, membangun dan memanfaatkan bidang sains, teknologi dan inovasi (STI).

“Bidang STI penting untuk menjana ilmu pengetahuan, mencipta kekayaan dan kesejahteraan masyarakat ke arah mencapai ekonomi berpendapatan tinggi yang kompetitif, mapan dan terangkum,’’katanya.

Selain itu MOSTI juga mengorak langkah ke arah membudayakan bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) seperti mana yang dinyatakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam Perikatan STEM Global di New York baru-baru ini.

Menurut Perdana Menteri, negara telah dapat meningkatkan nisbah pengajian sains:sastera kepada 42:48 dan sasaran negara pada hari ini ialah untuk mencapai nisbah 60:40 menjelang 2020.

Dengan demikian inisiatif tersebut adalah selaras dengan Dasar Sains, Teknologi dan Inovasi Negara (DSTIN) yang telah diluluskan oleh pada tahun 2013.

Dalam pada itu MOSTI kata beliau turut menubuhkan Malaysia Board of Technologists (MBOT) bagi membantu dan menyokong usaha pelbagai agensi kerajaan meningkatkan bilangan tenaga kerja teknikal yang mahir dan cekap.

MBOT merupakan sebuah badan berkanun, yang akan memainkan 
peranan sebagai badan untuk mendaftar dan mengiktiraf teknologis profesional serta juruteknik bertauliah sebagai profesion iktisas.

MBOT bakal menyediakan program pembangunan dan latihan professional serta menjalankan penilaian program teknologi dan teknikal yang berkaitan.

Ewon berkata, dengan dana penyelidikan sebanyak RM290 juta bagi menjalankan pelbagai aktiviti penyelidikan, pembangunan dan pengkomersialan (R&D&C), banyak program dapat dijalankan dan diperluaskan sehingga ke peringkat akar umbi.

“Ini termasuk program Jejak Inovasi oleh Yayasan Inovasi Malaysia, Karnival Kreativiti dan Science4U oleh MOSTI sendiri dan BioMalaysia,” katanya.

Kata beliau lagi , usaha terbaharu yang diadakan dalam tempoh terdekat ialah penganjuran Persidangan dan Pameran Inovasi Kebangsaan (NICE 2014) yang merangkumi persidangan, pameran, sesi padanan perniagaan dan Anugerah Saintis dan juruteknologi dan MIMOS.

NICE merupakan acara tahunan anjuran MOSTI dan pada tahun ini ia diadakan pada 31 Oktober hingga 2 November di Pusat Dagangan Dunia Putera (PWTC), di ibu negara.

Pengisian program NICE 2014 menyasarkan penyertaan daripada sektor industri, awam, penerima dana MOSTI, penyelidik dan pelajar-pelajar di peringkat institusi pengajian tinggi.

“Dengan penekanan kepada penghasilan inovasi, masyarakat perlu mengambil peluang mengunjungi pameran yang diadakan .

“Ini bagi membolehkan mereka meningkatkan kefahaman mengenai inovasi, kreativiti dan pengkomersialan serta berpeluang membeli produk R&D tempatan,’’ ujar beliau lagi.

Pada tahun iin MOSTI telah melancarkan dua lagi program terbesar berkaitan inovasi dan pengkomersialan.

Sebagai contoh, pelancaran Tahun Pengkomersialan MOSTI (MCY2014) telah disempurnakan oleh beliau pada Januari lalu dengan tema STI Menjana Kekayaan.