News

MEMPERKUKUH PEMBANGUNAN PANTAI TIMUR MELALUI TEKNOLOGI, BAKAT, DAN INOVASI

Apr 25, 2026

KUANTAN, 25 April 2026 – Lembaga Teknologis Malaysia (MBOT) telah menganjurkan MBOT East Coast Symposium yang bertemakan Catalysing East Coast Development Through Tech Talent & Innovation”. Simposium ini merupakan inisiatif strategik untuk memperkukuh pembangunan profesional para teknologis serta memupuk kerjasama yang lebih erat antara kerajaan negeri, pihak industri, dan institusi akademik.

Majlis perasmian telah disempurnakan oleh YB Dato' Ir. Razali bin Kassim, Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri Pahang. Beliau menyatakan komitmen kerajaan negeri dalam menyokong pembangunan ekosistem teknologi yang progresif. Antara tokoh terkemuka lain yang turut hadir termasuklah:

  • YH Prof. Dato' Dr. Muhammad Fauzi bin Mohd Zain, Naib Canselor Universiti UCYP;

  • YBhg. Prof. Dato' Ts. Ir. Dr. Mohamed Ibrahim bin Abdul Mutalib, Presiden MBOT; dan

  • YBhg. Dato' Seri Mustapa Mohamed, Penasihat Pusat Pengajian Pembangunan Ungku Aziz.

Simposium ini berfungsi sebagai platform dinamik untuk perkongsian ilmu, pertukaran pandangan, dan penerokaan peluang kerjasama strategik dalam kalangan peserta. Sepanjang acara berlangsung, pelbagai sesi perbincangan telah diadakan dengan memberi tumpuan kepada cabaran dan peluang dalam membangunkan ekosistem bakat teknologi yang mampan di Pantai Timur Semenanjung Malaysia. Para peserta turut mengambil peluang ini untuk memperluas rangkaian profesional mereka serta meneroka inisiatif baharu bagi memacu pembangunan teknologi wilayah yang lebih menyeluruh.