May 26, 2025
26 Mei 2025 - Satu program kolaboratif antara Lembaga Teknologis Malaysia (MBOT) dan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) telah berjaya dilaksanakan di KD PELANDOK. Program ini bertujuan memperkukuh kerjasama strategik dalam bidang teknologi dan kepakaran profesional, khususnya dalam sektor maritim dan pertahanan.
Program dimulakan dengan sesi taklimat keselamatan oleh pihak LUNAS, diikuti dengan taklimat komersial yang menerangkan fungsi dan peranan LUNAS dalam industri. Seterusnya, wakil MBOT menyampaikan taklimat mengenai peranan dan hala tuju MBOT sebagai badan profesional yang mengiktiraf teknologis dan juruteknik di negara ini.
Serentak dengan itu, satu sesi pertemuan diadakan antara Technology and Technical Working Group (TTWG) Teknologi Maritim bersama Presiden IMarEST, Laksamana Pertama Ir. Ts. Franklin J Joseph. Pertemuan yang berlangsung di Bilik Mesyuarat Khas ini melibatkan perbincangan kerjasama tiga hala antara MBOT, Marine Institute, dan IMarEST.
Pada sesi petang, para peserta dibawa melakukan lawatan teknikal ke beberapa fasiliti utama, termasuk tapak pembinaan dan kapal LCS 1, gudang serta stor meriam, dan sistem simulasi pertempuran. Lawatan ini memberi pendedahan langsung mengenai kemudahan teknologi tinggi yang digunakan oleh LUNAS dalam sektor maritim dan pertahanan.
Program diakhiri dengan Majlis Pertukaran Cenderahati antara MBOT dan LUNAS sebagai simbolik penghargaan dan pengukuhan jalinan kerjasama antara kedua-dua organisasi. Secara keseluruhan, program ini telah mencapai objektif yang ditetapkan dan diharapkan hubungan strategik antara MBOT dan LUNAS akan terus berkembang demi kemajuan sektor teknologi dan profesional negara.