News

MBOT DITERIMA SEBAGAI PENANDATANGAN SEMENTARA SEOUL ACCORD

Jul 11, 2019
PUTRAJAYA, 17 Jun (Bernama) -- Lembaga Teknologis Malaysia (MBOT) telah diterima sebagai penandatangan sementara Seoul Accord, perjanjian akreditasi bersama yang melibatkan 13 negara penandatangan bagi program dalam bidang pengkomputeran dan teknologi maklumat.

Penerimaan MBOT menyertai perjanjian itu dibuat semasa Mesyuarat Agung Tahunan Seoul Accord di Hong Kong, pada 13 dan 14 Jun 2019.

MBOT dalam satu kenyataan hari ini berkata penyertaannya dalam perjanjian itu disokong dan dicalonkan oleh dua penandatangan tetap, iaitu Accreditation Board for Engineering Education of Korea (ABEEK), Korea Selatan dan Australian Computer Society (ACS), Australia.

Langkah proaktif menyertai Seoul Accord itu penting bagi menaik taraf program pengkomputeran dan teknologi maklumat yang diiktiraf oleh MBOT sebagai program profesional yang akan diiktiraf oleh negara-negara penandatangan. 

Lembaga itu berkata ia akan memberi manfaat kepada 24 program pengkomputeran dan teknologi maklumat yang sama ada telah diiktiraf atau dalam proses untuk diiktiraf oleh MBOT dan program ketika ini dalam proses memohon akreditasi MBOT.

"Pengiktirafan global ini akan memberi impak positif kepada jaminan kualiti program di samping meningkatkan kebolehpasaran dan penerimaan industri bagi graduan yang dilahirkan daripada program itu,” kata MBOT. 

Diasaskan pada 2008, Seoul Accord bertujuan untuk menyumbang kepada kemajuan pendidikan dalam pengkomputeran di peringkat antarabangsa menerusi pengiktirafan silang program akademik dalam bidang masing-masing. 

-- BERNAMA