News

MBOT CEO ROUNDTABLE 2023

Jun 06, 2023
KUALA LUMPUR, 6 JUN 2023 – Buat julung-julung kalinya, Lembaga Teknologis Malaysia (MBOT) menganjurkan program MBOT CEO Roundtable mengumpulkan 42 pemimpin industri teknologi dan ahli akademik. Dengan tema "Tenaga Kerja Kalis Masa Depan: Strategi Pembangunan Bakat Berkemahiran Tinggi", program ini bertujuan untuk mendapatkan pandangan dan maklum balas yang berharga daripada kapten industri dan membincangkan isu dan cabaran yang berkaitan dengan pembangunan bakat.

Yang Berhormat Tuan Chang Lih Kang, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi berkata, "Individu yang berkemahiran tinggi adalah penting untuk membangunkan penyelesaian yang canggih dan meneroka sesuatu yang baharu. Inovasi penting kepada penciptaan industri baharu, peluang pekerjaan dan peningkatan produktiviti,"

"Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) sentiasa menyokong pembangunan industri melalui sains, teknologi dan inovasi dalam bidang seperti technology startup, pendigitalan, teknologi termaju dan pengkomersialan,".

"Teknologi tinggi dan bakat berkemahiran tinggi merupakan tulang belakang kepada semua ekonomi. Mereka adalah profesional dan saintis yang memacu industri kita, memastikan kilang-kilang berjalan lancar, menghasilkan teknologi yang mampu dikomersialkan, membantu petani menghasilkan lebih banyak hasil, memastikan kecekapan jentera, dan memacu inovasi ke hadapan. Kita memerlukan bakat teknologi dalam semua industri sebelum kita boleh menghasilkan sebarang teknologi atau perkhidmatan,".

YB Tuan Chang Lih Kang berkata demikian semasa ucapan perasmian Program MBOT CEO Roundtable 2023 di Kuala Lumpur hari ini.

"MBOT percaya, dalam menghadapi kemajuan teknologi tinggi, bakat pelbagai disiplin yang merentasi beberapa bidang teknologi menjadi keperluan industri yang bukan berasaskan satu disiplin sahaja," kata YBhg. Prof. Datuk Ts. Ir. Dr. Siti Hamisah Binti Tapsir, Presiden MBOT semasa menyampaikan ucapan alu-aluan hari ini. 

Program ini menampilkan seorang penceramah, Dr. Matthew Dornan, Ekonomis Kanan Worldbank Malaysia yang berkongsi hasil kajian yang telah dijalankan mengenai kemahiran untuk negara berpendapatan tinggi.