News

MBOT BORNEO SYMPOSIUM 2023

May 11, 2023
11 MEI 2023 – Lembaga Teknologis Malaysia (MBOT) buat julung-julung kalinya, mengadakan MBOT Borneo Symposium 2023 di Borneo Cultures Museum, Kuching, Sarawak. Dengan kerjasama Association of Professional Technicians and Technologists (APTT) dan Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), program yang bertemakan Preparing a Sustainable Workforce ini bertujuan meningkatkan keterlihatan dan memberi apresiasi kepada teknologis dan juruteknik di Sabah dan Sarawak. Majlis ini telah dirasmikan oleh YAB Datuk Patinggi Tan Sri Dr. Abang Haji Abdul Rahman Zohari Bin Tun Datuk Abang Haji Openg, Premier Sarawak.

YAB Datuk Patinggi Tan Sri Dr. Abang Haji Abdul Rahman Zohari dalam ucapannya berkata, “Sarawak menyasarkan untuk menggandakan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) negeri daripada RM136 bilion pada 2019 kepada RM282 bilion pada 2030, dan pada masa yang sama mewujudkan tambahan 195,000 peluang pekerjaan,”.

Untuk mencapai matlamat tersebut, Sarawak perlu menjadi sebuah negeri yang lebih berinovatif yang didorong oleh ekonomi berasaskan teknologi. Serentak itu, Sarawak memerlukan lebih ramai bakat-bakat profesional untuk menyampaikan perkhidmatan mereka terutamanya kepada industri. Menyedari perkara ini, Kerajaan menyasarkan untuk mendaftarkan 10,000 juruteknik dan teknologis di Sarawak menjelang 2025.

Bersempena dengan simposium ini, MBOT telah melancarkan MBOT Student Chapter, Talent Upskilling and Networking for Employment (TUNE). Ia merupakan satu inisiatif baharu yang bertujuan untuk menyokong  pelajar yang mengikuti program vokasional dan teknikal dengan pengetahuan, kemahiran, dan pendedahan yang mereka perlukan sebelum menceburi dunia pekerjaan.

MBOT turut memperkukuhkan lagi jalinan strategik dengan mengumumkan lapan Memorandum Persefahaman (MoU) yang telah ditandatangani termasuk 6 perjanjian tiga pihak antara MBOT, APTT dan 6 rakan kongsi iaitu Sarawak Skills, I-Cats University College, Wawasan Open University (Wou), Swinburne University, Sarawak Digital Economy Corporation (S-Dec), Centre For Technology Excellence Sarawak (Centexs) dan rakan kongsi 2 MoU antara dua pihak iaitu Mega Aerospace Center Sdn Bhd dan Alliance MEP (Sarawak) Sdn Bhd.

Simposium ini turut dihadiri oleh YBhg. Datuk Ts. Ir. Dr. Siti Hamisah Binti Tapsir, FASc., Presiden MBOT, YBhg. Tan Sri Datuk Amar Haji Mohamad Morshidi bin Abdul Ghani, Ketua Pegawai Eksekutif Sarawak Digital Economy Corporation (S-Dec), Centre For Technology Excellence Sarawak (Centexs), YBhg Prof. Ir. Ts. Dr Al-Khalid Othman, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar Dan Alumni, Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), wakil-wakil industri, persatuan, organisasi dan ahli-ahli MBOT.