News

MBOT BERSEDIA SEBAGAI PENANDATANGAN PENUH SEOUL ACCORD

Jun 24, 2021
24 JUN 2021 - Lembaga Teknologis Malaysia (MBOT) telah menyatakan hasrat dan komitmen untuk menjadi Penandatangan Penuh Seoul Accord pada tahun 2023 semasa Seoul Accord Annual General Meeting 2021 yang diadakan secara dalam talian semalam.

Mesyuarat ini telah dipengerusikan oleh YBhg. Profesor Michael Johnson (Australia Computer Society - ACS), Pengerusi Seoul Accord dan disertai oleh semua wakil penandatangan Seoul Accord manakala MBOT telah diwakili oleh Presidennya, YBhg. Datuk Ir. Ts. Siti Hamisah Tapsir, YBrs. Prof. Madya Ts. Dr. Mohd Rusllim Mohamed, Pengarah Sekretariat Akreditasi Teknologi dan Teknikal (TTAS), YBrs. Tc. Abdul Hafiz Mohamad Nor, Timbalan Pendaftar (Operasi) dan YBrs. Ts. Asma Hanim Ahmad Sajuri, Penolong Pendaftar (Strategik).

YBhg. Datuk Ir. Ts. Siti Hamisah telah membentangkan perkembangan terkini MBOT yang meliputi maklumat mengenai pendaftaran, akreditasi program yang berkaitan dengan bidang Teknologi Maklumat dan Pengkomputeran (ICT) serta jumlah panel akreditasi dalam bidang tersebut. Pada masa sama, beliau turut menjelaskan potensi kerjasama untuk membangunkan piawaian akreditasi bagi program juruteknik yang setaraf dengan program Diploma di Malaysia iaitu Program MQF Tahap 4 dan Tahap 5.

Semasa pembentangan tersebut, YBhg. Datuk turut memaklumkan mengenai perancangan masa hadapan dan harapan MBOT untuk menjadi Penandatangan Penuh Seoul Accord menjelang tahun 2023. Berdasarkan perancangan awal, beberapa siri lawatan penilaian dari 2 anggota Penandatangan Seoul Accord akan diadakan pada tahun 2022 dan kemudiannya MBOT akan menyerahkan permohonan penandatangan penuh pada tahun berikutnya. Beliau juga berharap agar penularan wabak Covid-19 dapat diputuskan secepat mungkin dan seterusnya lawatan pengesahan dapat diadakan setelah larangan perjalanan luar negara ditarik semula.