News

MAJLIS LIPUTAN MEDIA PENYERAHAN DOKUMEN PERALIHAN AKREDITASI PROGRAM AKADEMIK UITM KEPADA MBOT

Oct 15, 2019
14 OKTOBER 2019 - Lembaga Teknologis Malaysia (MBOT) berbesar hati menerima dokumen peralihan akreditasi program akademik daripada UiTM.  Majlis Liputan Media Penyerahan Dokumen Peralihan Akreditasi Program Akademik UiTM kepada MBOT menyaksikan Universiti Teknologi Mara (UiTM) menyerahkan sebanyak 116 permohonan akreditasi kepada MBOT bagi tujuan penilaian dan pengiktirafan.

YBhg. Tan Sri Dato’ Academician (Dr.) Ts. Ahmad Zaidee bin Laidin, FASc., Presiden MBOT dalam ucapannya telah memuji usaha keras pihak UiTM untuk menyokong pembangunan teknologi dan teknikal dari sudut akademik. YBhg. Tan Sri berkongsikan harapan beliau agar penyerahan dokumen peralihan akreditasi program akademik UiTM kepada MBOT menjadi simbolik kerjasama dinamik antara MBOT dan UiTM.

Pengiktirafan lebih banyak program akademik berteraskan teknologi oleh badan profesional mampu meningkatkan kebolehpasaran dan penerimaan industri bagi graduan, selari dengan misi Kerajaan untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara maju dan berpendapatan tinggi.

Turut hadir ke majlis tersebut ialah YBhg. Prof Emeritus Ir. Dr. Mohd Azraai Kassim, Naib Canselor UiTM, YBhg. Prof. Ts. Dr. Haji Mohamad Kamal Haji Harun, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), YBhg. Prof. Dato' Ts. Dr. Rosli bin Mohd Yunus Pengerusi Majlis Akreditasi Teknologis dan Teknikal (TTAC) MBOT dan YBrs. Ts. Mohd Nazrol bin Marzuke, Pendaftar MBOT.