News

19 INSTITUSI PENDIDIKAN TINGGI METERAI PERJANJIAN UNTUK PENDAFTARAN PROFESIONAL DENGAN LEMBAGA TEKNOLOGIS MALAYSIA

Oct 17, 2023
17 OKTOBER 2023 - Sebanyak 19 Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) dan Institut Latihan Kemahiran (ILK) buat julung-julung kalinya menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Lembaga Teknologis Malaysia (MBOT) yang membolehkan para graduan untuk berdaftar sebagai ahli badan profesional itu.

Perjanjian ini merupakan satu penanda aras penting bagi pendidikan tinggi negara kerana graduan-graduan yang lahir daripada program-program yang menerima akreditasi daripada MBOT akan layak mendaftar secara automatik dengan badan profesional ini. Ini kerana akreditasi program akademik yang dijalankan oleh MBOT memenuhi kompetensi yang diperlukan oleh seorang teknologis mahupun juruteknik profesional. Selain itu, akreditasi MBOT sentiasa selari dengan perkembangan teknologi terkini serta keperluan industri dalam aspek kompetensi dan kebolehpasaran.

Pengiktirafan tersebut direalisasikan melalui MoU yang melibatkan jaringan kerjasama kerjasama akademik antara MBOT dan 19 IPT dan ILK iaitu;
1. Universiti Malaysia Perlis (UniMAP);
2. Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA);
3. Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM);
4. Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM);
5. Universiti Sains Islam Malaysia (USIM);
6. Universiti Malaysia Kelantan (UMK);
7. Universiti Teknologi Malaysia (UTM);
8. Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR);
9. Universiti Teknologi Petronas (UTP);
10. Monash University;
11. Tunku Abdul Rahman University of Management and Technology (TAR UMT);
12. International Medical University (IMU);
13. Universiti Tenaga Nasional (UNITEN);
14. Peninsula College;
15. UCSI University cawangan Bangladesh;
16. Kolej Universiti TATI (UC TATI);
17. INTI International University;
18. Management and Science University (MSU); and
19. Terengganu Skills Development Centre (TESDEC).

Majlis pertukaran MoU ini telah diadakan bersempena MBOT Technology and Technical Education Townhall 2023 pada 17 Oktober 2023 di Putrajaya. Sesi ini menghimpunkan 150 hadirin dalam kalangan pengurusan tertinggi institusi termasuk Naib-naib Canselor, Timbalan Naib Canselor dan wakil-wakil institusi.

Datuk Ts. Wan Hasmar Azim Bin Wan Hassan, Ketua Pegawai Eksekutif Weststar Aviation Services Sdn. Bhd. turut hadir menyampaikan perkongsian yang bertajuk Community of Practice Dimensi Baharu Ekosistem Industri.

Kredit Foto : Pusat Komunikasi Korporat, UMPSA Malaysia