Sep 09, 2026
9 September 2026 - Majlis Konvokesyen Berpusat Politeknik dan Kolej Komuniti (POLYCC) Tahun 2026 berlangsung dengan penuh bermakna di Dewan Sultan Mizan, Universiti Malaysia Terengganu (UMT), dengan kehadiran YBhg. Prof. Dato' Ts. Ir. Dr. Mohamed Ibrahim bin Abdul Mutalib, FASc., Presiden Lembaga Teknologis Malaysia (MBOT), sebagai perasmi dan penyampai anugerah sijil akademik kepada para graduan.
Majlis Konvokesyen sidang 5 ini turut menyaksikan penyampaian beberapa anugerah kecemerlangan, antaranya Anugerah Khas Industri, Anugerah Kecemerlangan Akademik & Kokurikulum Jabatan, Anugerah Projek Terbaik dan Anugerah Pengarah.
Seramai 634 graduan menerima sijil pada sidang kali ini, menandakan satu pencapaian penting setelah melalui pelbagai cabaran dan pengalaman sepanjang tempoh pengajian.
Dalam ucapan perasmiannya, YBhg. Dato’ menitipkan pesanan kepada para graduan agar melihat konvokesyen bukan sebagai noktah, tetapi sebagai permulaan kepada perjalanan baharu dalam dunia profesional.
Beliau turut berkongsi mengenai peranan MBOT dalam memperkukuh ekosistem profesional teknologi negara, termasuk melalui akreditasi program pendidikan teknologi dan teknikal. Sehingga Ogos 2026, sebanyak 758 program telah diakreditasi, dengan penglibatan 1,394 panel penilai akreditasi.
Usaha ini penting bagi memastikan pendidikan teknikal sentiasa selari dengan keperluan industri dan perkembangan masa hadapan, sekali gus mengukuhkan hubungan antara pendidikan, kompetensi, profesionalisme dan industri.
Kredit Foto : Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK)