11 FEBRUARI 2026 - Lembaga Teknologis Malaysia (MBOT) hari ini mencatat satu pencapaian penting dengan merasmikan pejabat baharunya di Menara Ochre @ Alamanda, Putrajaya, sekali gus membuka lembaran baharu dalam pengukuhan peranannya sebagai pemacu utama ekosistem bakat teknologi dan teknikal negara. Majlis perasmian telah disempurnakan oleh YB Datuk Chang Lih Kang, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi.
Sejurus selesai gimik perasmian, majlis diteruskan dengan upacara potong reben sebagai simbolik pembukaan rasmi pejabat baharu MBOT. YB Datuk Chang Lih Kang kemudiannya berkesempatan mengadakan lawatan ke sekitar ruang pejabat bagi meninjau kemudahan yang disediakan, di samping berinteraksi bersama warga kerja MBOT.
Selari dengan aspirasi Malaysia MADANI, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) melalui MBOT terus memainkan peranan strategik dalam memperkasa tenaga kerja teknologi negara melalui pembangunan profesional berterusan, pemerkasaan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), serta pengiktirafan laluan kerjaya teknologis dan juruteknik.
Sejak penubuhannya, MBOT beroperasi di Ayer@8, Putrajaya dan Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah, Pekan, Pahang sebelum mengembangkan operasinya melalui pembukaan pejabat satelit di Futurise, Cyberjaya, dan seterusnya menyatukan seluruh tenaga kerjanya di dua unit berasingan di Ayer@8, Putrajaya.
Majlis perasmian ini turut dihadiri YBhg. Datuk Seri Hj. Hasnol Zam Zam bin Hj. Ahmad, Ketua Setiausaha, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi; YBhg. Dato’ Ruziah binti Shafei, Timbalan Ketua Setiausaha (Perancangan dan Pembudayaan Sains) MOSTI;YBhg. Professor Emeritus Datuk Ts. Ir. Dr. Siti Hamisah binti Tapsir, Presiden MBOT; YBrs. Dr. Md Fauzi Md Ismail, Pendaftar MBOT, barisan pengurusan tertinggi MBOT, pegawai kanan MOSTI serta wakil-wakil industri.
Kredit Gambar :
Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI)