News

PENGUKUHAN KOMPETENSI PROFESIONAL DALAM TEKNOLOGI MARITIM MELALUI TTWG MBOT

Feb 10, 2026
10 FEBRUARI 2026 - Program Technology and Technical Working Group (TTWG) bagi bidang Teknologi Maritim (MI) anjuran Lembaga Teknologis Malaysia (MBOT) telah dilaksanakan bagi memperkukuh pengetahuan dan meningkatkan kompetensi profesional peserta dalam Fundamentals of Marine Survey & Pathway to Professional Marine Warranty Surveyor. Program dimulakan dengan ucapan alu-aluan oleh Dr. Suaathi a/p Kaliannan, Timbalan Pendaftar (Strategik) MBOT, diikuti sesi teknikal dan interaktif yang memperkenalkan peranan serta tanggungjawab seorang juruukur marin.
 
Sepanjang program, peserta didedahkan dengan pelbagai topik penting termasuk laluan kerjaya sebagai Marine Warranty Surveyor, asas tinjauan marin, perbezaan antara tinjauan statutori, bukan statutori dan Marine Warranty Survey, serta kaedah penyediaan dan metodologi pemeriksaan. Program turut disertai aktiviti interaktif seperti pengenalpastian skop tinjauan, latihan penilaian risiko, latihan amali dan kajian kes, selain menekankan etika, tanggungjawab profesional dan perancangan pembangunan kerjaya.
 
Program ini dikemudi oleh ahli profesional MBOT iaitu Ts. Muhamad Yazid Yahaya (My Blulegacy Sdn. Bhd.), Ts. Shahrol Farid Bin Mat (WHA Oil & Gas) dan Lt Cdr Ts. Mohd Adie Ab Halim RMN (Royal Malaysian Navy), yang berkongsi kepakaran serta pengalaman industri, sekali gus menyumbang kepada kejayaan program. Program diakhiri dengan sesi rumusan dan penyampaian sijil kepada para peserta.

Kredit Foto : My Blulegacy