News

PENGUKUHAN KERJASAMA MBOT DAN MVPO DALAM PEMBANGUNAN TEKNOLOGI DAN PERKHIDMATAN TEKNIKAL

Apr 20, 2026
20 APRIL 2026 - Kunjungan hormat Lembaga Teknologis Malaysia (MBOT) kepada Malaysian Vaccine Project Office (MVPO) merupakan satu langkah penting dalam memperkukuh hubungan strategik antara kedua-dua organisasi, khususnya dalam bidang teknologi dan perkhidmatan teknikal berkaitan pembangunan vaksin dan kesihatan awam.

Antara fokus utama perbincangan adalah usaha untuk memperluaskan pengiktirafan profesional kepada teknologis dan juruteknik dalam kalangan pegawai serta kakitangan teknikal MVPO. Inisiatif ini dilihat mampu meningkatkan tahap profesionalisme, kompetensi serta kredibiliti tenaga kerja teknikal selaras dengan keperluan industri bioteknologi dan kesihatan yang semakin berkembang.

Selain itu, kedua-dua pihak turut membincangkan cadangan pelaksanaan bersama piawaian MBOT Professional Services Standard dalam perkhidmatan teknologi dan projek teknikal di MVPO. Kunjungan ini juga membuka ruang kepada pengukuhan kerjasama strategik antara MBOT dan MVPO melalui penganjuran program bersama, inisiatif pembangunan kapasiti serta aktiviti jaringan profesional.

Turut hadir dalam sesi kunjungan hormat ini ialah Dr. Mohd Azlan bin Zaharudin, Pengarah MVPO, yang menyatakan sokongan terhadap usaha memperkasakan pembangunan profesional dalam kalangan tenaga kerja teknikal serta memperluaskan kolaborasi antara kedua-dua pihak.