16 JANUARI 2026 – Lembaga Teknologis Malaysia (MBOT) telah mengadakan kunjungan hormat ke atas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Dato’ Sri Haji Azam Baki di Ibu Pejabat SPRM hari ini. Kunjungan ini diadakan bagi memperkukuh pemerkasaan teknologi dan meningkatkan profesionalisme pegawai SPRM melalui pengiktirafan dalam bidang teknologi.
Dalam kunjungan tersebut, Presiden MBOT, Profesor Emeritus Datuk Ts. Ir. Dr. Siti Hamisah Tapsir menekankan komitmen kedua-dua organisasi terhadap kerjasama strategik dan pembangunan bakat teknologi dalam sektor penguatkuasaan.
Tan Sri Dato’ Sri Haji Azam Baki menyatakan bahawa kerjasama ini sejajar dengan agenda SPRM untuk memperkukuh integriti negara melalui pendekatan menyeluruh yang merangkumi aspek penguatkuasaan, pencegahan dan pendidikan, disokong oleh pembangunan kepakaran teknologi yang sistematik.
MBOT komited untuk menyokong usaha ini melalui pengiktirafan pegawai SPRM sebagai Teknologis Profesional bertauliah, sekali gus meningkatkan tahap kompetensi, profesionalisme serta pembangunan kerjaya pegawai, di samping menggalakkan pematuhan kepada standard profesional dan pembelajaran berterusan.
Kerjasama ini turut membuka ruang kepada pelaksanaan program latihan dan pembangunan kemahiran teknikal, khususnya dalam bidang teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), keselamatan siber, forensik digital serta teknologi berkaitan yang relevan dengan keperluan semasa agensi penguatkuasaan.
MBOT merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada SPRM atas sokongan dan keterbukaan terhadap inisiatif pengiktirafan profesional ini demi memperkukuh ekosistem teknologi dan integriti negara.
Turut hadir dalam pertemuan ini ialah Pengarah Bahagian Pendidikan Masyarakat SPRM, Datuk Ahmad Nizam Ismail; Pengarah Bahagian Forensik Teknologi SPRM, KPKPj Wan Zulkifli Wan Jusoh; Pengarah Bahagian Pengurusan Rekod dan Maklumat SPRM, KPKPj Norkhafizin Isa; Pendaftar MBOT, Dr. Md Fauzi Md Ismail; Timbalan Pendaftar MBOT, Ts. Abdul Hafiz Mohamad Nor; serta Penolong Pendaftar MBOT, Cik Norhamizan Fauzi.
Kredit Foto : Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)