News

DASAR 4IR PACU TRANSFORMASI MENERUSI TEKNOLOGI

Jul 01, 2021
1 JULAI 2021 - Kerajaan telah melancarkan Dasar Revolusi Perindustrian Keempat (4IR) Negara pada 1 Julai 2021 yang telah dirasmikan oleh YB Dato’ Sri Mustapa Mohamed, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) dan YB Khairy Jamaluddin, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI).

Bersempena dengan Majlis Pelancaran 4IR, satu sesi forum bertajuk 4IR: Wealth Creation & Inequality Game Changer telah diadakan bersama panel-panel terkemuka dari pelbagai sektor.

Semasa forum tersebut, YBhg. Datuk Ir. Ts. Dr. Siti Hamisah Tapsir, Presiden Lembaga Teknologis Malaysia (MBOT) merangkap Ketua Setiausaha MOSTI telah berkongsi mengenai inisiatif MOSTI bagi menyokong pelaksanaan Dasar 4IR Negara. Beliau berkata, MOSTI telah membangunkan beberapa dasar dan pelbagai pelan hala tuju antaranya ialah Dasar Sains, Teknologi dan Inovasi Negara (DSTIN) 2021-2030 dan 10-10 Sains, Teknologi, Inovasi dan Ekonomi (MySTIE). Inisiatif tersebut merupakan salah satu langkah untuk memastikan transformasi 4IR meliputi semua aspek kehidupan serta industri sekali gus membantu meningkatkan kualiti kehidupan menerusi teknologi.

Beliau turut menjelaskan, inisiatif berkenaan akan disokong oleh MBOT. MBOT akan memainkan peranan untuk memastikan pemupukan bakat bagi memenuhi permintaan industri, bukan sahaja di peringkat awal, malah sehingga ke peringkat profesional. Serentak itu, MBOT juga menilai jaminan kualiti program dalam bidang teknologi dan teknikal yang memberi lebih penekanan kepada pembelajaran berasaskan industri untuk meningkatkan keupayaan bakat dan melahirkan tenaga kerja yang berkemahiran tinggi dan berkualiti.

Dasar 4IR Negara merupakan dasar negara yang menyeluruh bagi memacu usaha bersepadu dalam mentransformasi pembangunan sosioekonomi negara melalui penggunaan teknologi termaju 4IR. Dasar ini digubal dengan mengenalpasti 5 teknologi teras untuk membina keupayaan tempatan iaitu kecerdasan buatan (Artificial Intelligence – AI), Internet of Things (IoT), Blockchain dan Teknologi Lejar Teragih (DLT), Bahan Termaju dan Disokong oleh Pengkomputeran Awan (Cloud Computing) dan Analisis Data Raya (Big Data Analytics, BDA).