Events

Program MBOT Experts Network In Technology, Innovation And Cooperative Event (ENTICE 2022)

Jun 07, 2022

07 JUN 2022 – Yang Berhormat Datuk Haji Ahmad Amzad bin Hashim, Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi hari ini telah merasmikan Program MBOT Experts Network in Technology, Innovation and Cooperative Event atau singkatannya MBOT ENTICE 2022 yang berlangsung di W Hotel, Kuala Lumpur.

Ia merupakan penjenamaan semula program Townhall yang sebelum ini dijalankan sebagai usaha kolektif untuk menghimpunkan ahli-ahli profesional MBOT bersama pemegang taruh bagi memperkukuh profesion Teknologis dan Juruteknik di Malaysia.

Dalam ucapannya, YB Timbalan Menteri MOSTI telah menyatakan sokongan padu ke atas peranan dan hala tuju MBOT yang jelas dalam memastikan bakat-bakat yang ada dalam negara bukan sahaja kompeten, malah mempunyai kod etika sebagai seorang yang profesional.

Antara inisiatif yang dilancarkan sempena Program MBOT ENTICE 2022 pada hari ini ialah TechZone iaitu kerjasama strategik melibatkan MBOT dan universiti. Melalui kerjasama ini, bakal-bakal graduan Teknologi dan Teknikal akan memperoleh manfaat untuk membangunkan kerjaya.

MBOT juga mengumumkan kerjasama dengan learned society dalam pelbagai bidang teknologi yang terdiri daripada persatuan-persatuan industri dan ikhtisas. Ini bagi memastikan MBOT senantiasa menerima input yang tepat dan terkini dalam menjalankan fungsi-fungsinya. MBOT dan learned society juga akan merangka programprogram pembangunan bakat yang ada dalam industri.

Selain itu, MBOT juga telah merintis konsep “Community of Practice” iaitu penglibatan pelbagai pihak seperti wakil industri, akademik dan kerajaan dalam komuniti sesebuah industri. Melalui Community of Practice ini, mereka akan menentukan nilai-nilai profesionalisme mereka sendiri bagi memastikan profesion mereka senantiasa terpelihara.

Sebagai langkah strategik serta untuk terus inklusif, MBOT memperkenalkan penubuhan Women Technologist Chapter bagi menggalakkan penglibatan golongan wanita dalam bidang sains dan teknologi. MBOT menyasarkan lebih ramai Teknologis kalangan wanita akan lebih menyerlah khususnya dalam pembangunan industri dan negara.

Dalam pada itu, Presiden MBOT, Datuk Ts Ir Dr Siti Hamisah binti Tapsir berkata, “semenjak penubuhan MBOT pada tahun 2015, MBOT telah mendaftarkan seramai lebih 57,000 Teknologis dan Juruteknik seluruh Malaysia. Ini merangkumi lebih 15,000 Teknologis Profesional dan 1,600 Juruteknik Bertauliah daripada pelbagai industri, sekali gus membuktikan penerimaan yang baik terhadap pengiktirafan MBOT.”

Pada majlis ini juga, sesi pertukaran Memorandum Persefahaman (MOU) antara MBOT dengan panel-panel Pakar Teknologi termasuk Petronas, Air Asia Academy, Malaysian Digital Economy Corporation (MDEC), Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK) dan Association of Information Security Professionals (AISP) dari Singapura. Memorandum ini merangkumi pelbagai aspek kerjasama termasuk pembangunan pengiktirafan profesionalisme dan inisiatif pembangunan kapasiti.