News

6,166 GRADUAN DIRAIKAN DALAM MAJLIS KONVOKESYEN KOLEJ VOKASIONAL KEMENTERIAN PENDIDIKAN MALAYSIA KALI KE-8 TAHUN 2023

Mar 04, 2024

4 MAC 2024 - YBhg. Prof. Datuk Ts. Ir. Dr. Siti Hamisah binti Tapsir, Presiden Lembaga Teknologis Malaysia (MBOT) hadir menyempurnakan Sidang ke-9, Majlis Konvokesyen Kolej Vokasional Kementerian Pendidikan Malaysia Kali Ke-8 Tahun 2023. 

YBhg. Prof. Datuk Ts. Ir. Dr. Siti Hamisah telah menyampaikan skrol Diploma kepada 659 graduan termasuk Anugerah Terbaik Program. Daripada jumlah itu, sidang ke-9 yang berlangsung pada 4 Mac ini meraikan pelajar-pelajar Diploma Teknologi Maklumat (219 orang), Diploma Kosmetologi (233 orang), Diploma Teknologi Kimpalan (207 orang). 

YBhg. Prof. Datuk Ts. Ir. Dr. Siti Hamisah dalam ucapannya berkata, "Dalam dunia yang berkembang pesat hari ini, kebolehsuaian dan pembelajaran berterusan adalah kunci kepada kejayaan. Kemahiran yang diperolehi akan menjadi asas untuk pertumbuhan dan kejayaan kerjaya sepanjang hayat. Terima perubahan, kekal ingin tahu, dan jangan pernah berhenti belajar. Perjalanan pendidikan tidak berakhir di sini. Ia adalah satu titik permulaan kepada perjalanan pembelajaran hidup anda".

Dalam pada itu, beliau turut mengucapkan terima kasih kepada pihak industri, swasta dan agensi kerajaan yang telah memberikan kerjasama kepada KPM dalam memberikan peluang kepada pelajar dan pensyarah Kolej Vokasional dalam mendapat pengetahuan dan kemahiran terkini selaras dengan  kerancakan revolusi perindustrian serta perubahan pasaran kerja dengan peningkatan penggunaan Artificial Intelligence (AI) dalam data analitik, robotik, automasi, dan pelbagai perkembangan teknologi digital.
 
Secara keseluruhannya, seramai 6,166 graduan peringkat diploma di 80 buah kolej vokasional seluruh negara diraikan pada Majlis Konvokesyen Kolej Vokasional Kementerian Pendidikan Malaysia Kali Ke-8 Tahun 2023.